Keluarga dan Komitmen kita

Saya ingin membentangkan di dalam post ini,  satu rencana yang dihasilkan oleh IKIM.   Saya kira ianya amat relevan kepada kehidupan kita,  terutamanya kita yang mempunyai keluarga sendiri.

Harapan saya,  semoga rencana ini dapat membantu dalam perjuangan kita untuk mencemerlang,  mensejahtera dan membawa kegemilangan kepada keluarga kita kelak.

KOMITMEN  KEPADA  KELUARGA  SEBAGAI  AZAM  TAHUN  BARU

Siti Fatimah Abdul Rahman
Felo Kanan 

Apabila melangkah ke tahun baru, ramai yang memasang azam. Setelah bermuhasabah diri pada hujung tahun, ramai yang cuba untuk membaiki kekurangan dan kelemahan masing-masing supaya pada tahun yang berikutnya, diri dapat diperbaiki dan kualiti hidup yang lebih baik dapat dinikmati.

Lazimnya azam berkisar tentang perkara-perkara seperti mahu berhenti merokok, ingin menguruskan badan, mahu lebih giat bersukan demi kesihatan, mahu menjadi pekerja yang lebih produktif dan seumpamanya. Namun, jarang sekali orang menjadikan komitmen kepada keluarga sebagai azam mereka. Dalam kata-kata lain, orang jarang berazam untuk menjadi “isteri atau suami yang lebih komited kepada keluarga” ataupun “ibu atau ayah yang lebih komited kepada anak-anak.”

Cuba fikirkan sejenak, seandainya ada borang penilaian prestasi sebagai suami atau isteri, ibu atau bapa, berapakah agaknya peratusan pencapaian kita? Apakah secemerlang pencapaian kita di pejabat? Jika “Ya”, malah lebih cemerlang lagi, alhamdulillah. Jika tidak, maka eloklah difikirkan untuk menjadikan aspek ini sebagai sebahagian dari pencapaian kita untuk tahun 2010.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, melalui agensinya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara sejak beberapa tahun yang lalu telah mempromosikan nilai mengutamakan keluarga. Apakah telah kita sahut seruan itu?

Sepanjang tahun 2009 yang baru berlalu, sejauhmanakah kita telah mengutamakan keluarga? Apakah kita lebih kerap memenuhi janji yang dibuat dengan mereka atau kita lebih banyak memungkirinya? Sebagai ibu atau bapa yang memiliki anak kecil, apakah kita lebih kerap “membelikan mainan” untuk mereka berbanding “bermain dengan mereka”? Untuk anak remaja pula, apakah kita berpuashati dengan membelikan mereka gadget terkini yang canggih tanpa membimbing mereka tentang cara memanfaatkannya?

Dalam bidang pendidikan pula, semua ibu bapa mahukan anak-anak menjadi pandai. Tetapi sejauhmanakah kita membantu mereka untuk menjadi pandai? Memadaikah dengan menghantar mereka ke sekolah dan kelas tambahan semata-mata?

Begitu juga, kita mahu anak-anak kita mengenal agamanya. Tetapi, sejauhmanakah ibu bapa membantu anak-anak memahami dan melaksanakan tuntutan agama itu? Memadaikah dengan menghantar mereka ke sekolah agama di samping sekolah kebangsaan? Di rumah sendiri, berapa kerap ibu bapa mengajak, menyuruh dan membimbing anak-anak untuk solat, mengaji dan mengamalkan nilai-nilai Islam lainnya?

Sebagai ahli keluarga, apakah kita telah berkorban untuk keluarga atau keluarga yang terkorban demi tugas mahupun komitmen kita yang lain?

Komitmen individu terhadap keluarga juga memerlukan sokongan majikan. Majikan yang mesra keluarga memudahkan pekerja untuk menyeimbangkan tanggungjawab mereka terhadap keluarga dan kerjaya.

Justeru, bekerja dari rumah adalah satu pendekatan yang amat mesra keluarga. Walaupun ia membawa faedah-faedah lain kepada para pekerja yang terlibat seperti menjimatkan wang, masa dan tenaga, namun, sumbangannya kepada keluarga dari segi penjagaan anak-anak dan rumahtangga adalah faedah yang tidak ternilai harganya.

Semoga projek perintis yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya itu akan membuktikan bahawa bekerja dari rumah adalah satu alternatif yang membawa banyak manfaat kepada masyarakat. Untuk memastikan impaknya lebih dirasai, projek seperti ini perlu dicontohi oleh kementerian serta majikan yang lain.

Namun, hakikatnya ialah majoriti pekerja wanita berada dalam kategori “pekerja perkeranian” dan “pekerja perkhimatan dan jualan”. Maka, berkemungkinan besar bekerja dari rumah bukanlah pilihan untuk mereka. Apa yang lebih mereka perlukan ialah pusat jagaan kanak-kanak dan pusat transit untuk anak-anak di sekolah rendah. Maka, usaha ke arah ini perlu diperbanyakkan.

Apapun, sejauhmana komitmen kita kepada keluarga perlu dahulu dijawab oleh individu itu sendiri. Kata orang, bila seseorang meninggal dunia, majikan boleh mencari penggantinya dalam masa yang singkat. Tetapi, bagi keluarga itu, ia kehilangan individu tersebut untuk selama-lamanya. Di manakah letaknya keluarga di hati kita?

Sebagai orang Islam, al-Quran dan hadis adalah panduan kita. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah ia telah memeliharanya ataupun mensia-siakannya.” Sebagai ibu bapa, kita akan ditanya tentang tanggungjawab ini. Maka, komitmen kepada keluarga bukanlah satu pilihan, sebaliknya satu kewajipan. Maka, sikap kita terhadap keluarga perlu diperbetulkan.

Seorang penyair Arab pernah menukilkan yang antara lain membawa maksud, “Bukanlah anak yatim itu anak yang ibu atau bapanya telah meninggal dunia. Tetapi, anak yatim itu ialah anak yang masih memiliki kedua ibu bapanya tetapi mereka sibuk bekerja dan tidak memperdulikannya.”. Yatimkah anak-anak kita?

Sumber:   Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

SEPATAH KATA

Lamanweb  FAMILI BAHAGIA ini diwujudkan sebagai usaha membantu kita memahami dan menghayati peranan keluarga dalam pembangunan masyarakat dan bangsa.   Ia juga bertujuan untuk memberi kita pilihan-pilihan serta panduan-panduan ke arah mengukuh dan memperkasakan lagi institusi keluarga.

Banyak telah diperkatakan mengenai masalah yang dihadapi oleh institusi keluarga hari ini.   Banyak pandangan dan pendapat telah diberikan oleh para bijak pandai dan mereka yang pakar dan ariff dalam bidang ini,   sama ada dari perspektif keagamaan,  sosiologi,  saikologi,  ekonomi  dan sebagainya.

Adalah menjadi harapan kami  di FAMILI BAHAGIA semoga apa yang akan dipaparkan di dalam lamanweb ini,  dapat membantu dan menokok tambah usaha yang sedang dan akan kita laksanakan bagi memperkukuh dan memperkasakan lagi institusi ini.

Awal-awal lagi kami ingin menyatakan bahawa kami bukanlah terdiri dari golongan pakar dalam bidang ini,  akan tetapi kami perihatin dan apa yang akan kami paparkan adalah pandangan dan idea yang kami percaya praktikal dan boleh dijadikan panduan dan bimbingan kita kearah membentuk satu institusi keluarga yang kukuh,  kuat dan dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan bangsa.

Untuk tujuan ini,  kami akan mendapatkan sumbangan-sumbangan dari pakar dalam bidang ini,  dan dari organisasi dan agensi yang berkaitan.   Kita akan mengkaji,  meneliti  dan  meninjau sedalam-dalamnya subjek ini,  supaya kita benar-benar faham akan maksud dan tujuan keluarga dan kekeluargaan,  sambil mengenalpasti segala-galanya mengenai institusi keluarga.

Adalah diharapkan dan dipercayai bahawa sumbangan ala kadar lamanweb ini dapat membantu kita menghadapi masa mendatang dengan lebih yakin lagi,  sambil menggunakan institusi keluarga ini sebagai asas pembangunnan umat manusia secara keseluruhannya.

Sebagai post awalan lamanweb ini,  kami akan tumpukan perhatian kepada istilah atau maksud ‘keluarga’ itu sendiri.

Kami petik di sini penjelasan dari  Wikipedia encyclopedia bebas:

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Keluarga ialah satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan atau pengambilan anak angkat.

Di Barat, keluarga didefinisikan sebagai satu kumpulan manusia yang mempunyai hubungan darah atau pertalian sah seperti perkahwinan dan pengambilan anak angkat. Banyak ahli antropologi berpendapat istilah “darah” perlu difahami secara metaforik kerana banyak masyarakat bukan Barat mempunyai konsep berkeluarga yang tidak bersandarkan “darah”.

Silang budaya keluarga

Berdasarkan antropologi dan sosiologi, fungsi utama sesebuah keluarga ialah untuk menambah bilangan anggota masyarakat sama ada dengan cara biologi atau sosial (iaitu perkahwinan). Oleh itu, seseorang akan merasai perubahan perasaan berkeluarga misalnya bagi anak anak, keluarga bersifat orientasi, iaitu keluarga bertanggungjawab untuk meletak mereka kepada masyarakat melalui pendidikan dan sebagainya. Manakala bagi ibu bapa, keluarga bersifat prokreasi yang mana matlamat utama ialah menghasilkan, membudayakan dan mensosialkan zuriat. Walaubagaimanapun menghasilkan zuriat bukanlah tujuan utama sesebuah keluarga. Dalam masyarakat yang mempunyai pembahagian dalam pekerjaan, kehendak berkeluarga, dan hasil hubungan antara suami dan isteri, pembentukan isi rumah yang produktif dan ekonomi adalah amat penting.

SHAFIEE KHATIB JALI, dalam buku kecilnya bertajuk ‘Pembentukan Ummah Menurut Islam’ untuk Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara,  menulis:

Manusia adalah suatu kejadian ciptaan Allah S.W.T  yang paling baik bentuk dan rupa parasnya,  berbanding dengan makhluk-makhluk lain.   Mempunyai akal fikiran,  perasaan  dan  nafsu keinginan.

Keluarga adalah komponen terkecil dari susunan masyarakat manusia.   Sekurang-kurangnya terdiri dari suami isteri.  Lengkapnya terdapat anak-anak dan lain-lain angota keluarga tinggal bersama.

Maju mundurnya sesebuah masyarakat banyak bergantung kepada keadaan keluarga yang menganggotai masyarakat berkenaan.  Ahli-ahli kemasyarakatan menggambarkan tentang pentingnya sesebuah keluarga dalam membentuk dan membangunkan masyarakat manusia.

‘Rumahtangga adalah markas di mana denyut-denyut pergaulan hidup menggetar.  Dia adalah susunan hidup yang dapat mengekalkan keturunan.  Di dalamnya lahir dan berkembang segala yang berkaitan dengan keperluan hidup manusia.   Keluarga adalah satu kumpulan yang padu,  teratur dan sempurna.   Dari situlah terpancar perasaan halus  (wajdan)  dan sukmajiwa yang hidup sebagai mata air perikemanusiaan dan tasik persaudaraan sejagat yang tidak akan ketandusan.’

Kami akan dapatkan lagi petikan-petikan mengenai  keluarga dan kekeluargaan untuk dipaparkan bagi faedah kita semua, dari satu ke satu masa.

Harapan kami semoga,   secebis apa yang kami bentangkan,  akan menjadi pemangkin kepada kita semua,  dalam usaha kita menjalani hidup,   dan menjadikan  keluarga dan kekeluargaan  sebagai landasan di atas mana dapat kita lalui dalam perjalanan hidup kita.

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!