Harus difikirkan

Artikel yang dipaparkan ini dipetik dari portal rasmi INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM).

Masa Berkualiti Dalam Keluarga: Alasan Atau Alternatif?                                                                          Ditulis oleh Siti Fatimah Abd Rahman.

“Kita perlu mengamalkan konsep masa berkualiti dengan ahli keluarga kita”. Demikianlah saranan yang sering kita dengar hampir setiap hari. Ramai yang bersetuju dengan saranan ini. Dalam kesibukan kita mengejar masa dengan urusan seharian, kita tidak lagi mampu untuk meluangkan banyak masa dengan ahli keluarga yang lain. Untuk itu, masa berkualiti adalah alternatifnya. “Apa guna meluangkan masa berjam-jam dengan anak jika ianya tidak diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat?”, itu rasionalnya.

Setelah sekian lama kita disarankan dengan konsep masa berkualiti ini, fahamkah kita akan maksudnya yang sebenar? Apa yang dimaksudkan dengan masa berkualiti dengan keluarga? Apakah ia bermaksud “ke-ber-ada-an” kita dengan mereka? Apakah dengan ber-adanya kita dengan mereka itu dapat ditakrifkan sebagai meluangkan masa secara berkualiti? Ataukah ada aspek lain yang lebih penting dari semata-mata berada dalam lokasi yang sama pada sesuatu masa?

Jika kita ingin mengatakan bahawa kita meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak, apakah corak kegiatan yang kita lakukan? Apakah kekerapan kita melakukan kegiatan tersebut? Dengan segala kegiatan dan kekerapan ini, apakah unsur lain bagi mengesahkan yang masa tersebut telah diisi secara berkualiti?

Memang sukar untuk mendefinisikan maksud masa berkualiti. Walau bagaimanapun, saya ingin cuba untuk memberi definisi yang pada saya dapat menggambarkan maksud masa berkualiti ini.

Masa berkualiti merujuk kepada satu masa di mana sekumpulan orang meluangkan masa secara bersama dengan melakukan sesuatu yang bersifat interaktif dan memberi makna kepada semua yang terlibat.

Jangkamasa bersama itu tidak penting tetapi ia mestilah memadai untuk menyelesaikan sesuatu aktiviti. Aktiviti yang bersifat interaktif memerlukan kedua-dua belah pihak berinteraksi sesama sendiri ketika melakukan perbuatan tersebut. Di masa yang sama, aktiviti dan interaksi yang berlaku mampu memberi makna kepada semua pihak yang terlibat. Ini bererti interaksi tersebut berhasil untuk mendatangkan manfaat kepada semua yang terlibat baik dari segi mengeratkan hubungan, mengenali di antara satu sama lain dan sebagainya.

Sila baca lagi di Portal Rasmi  INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

Makluman relevan

Artikel ini dipetik dari akhbar online SINAR HARIAN ONLINE disiarkan pada 17 Sept 2012

Institusi keluarga bertanggungjawab terhadap pembentukan sahsiah remaja

KUALA LUMPUR – Melayari kehidupan zaman remaja dalam kepesatan dunia teknologi komunikasi dan maklumat masa kini tidak mudah. Cabaran dan dugaannya sangat berbeza.

Dalam era dunia tanpa sempadan ini, ilmu dan pengetahuan khususnya mengenai dunia Internet sudah menjadi kemestian untuk seseorang individu itu kalau tidak pun celik IT, tetapi sekurang-kurangnya mempunyai ilmu asas mengenainya. Jika tidak, akan dikata buta IT dan ketinggalan zaman.

Dunia maklumat dan rangkaian komunikasi kini hanya di hujung jari. Yang sedemikian, apa masalahnya? Persoalannya, benarkah ia menjadi antara faktor penyumbang kepada permasalahan sosial dan keruntuhan moral di kalangan remaja, sehingga terjebak dalam gejala maksiat termasuk mengandung anak luar nikah?

Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi seperti telefon pintar, tablet, komputer riba, notebook yang semakin hari semakin canggih dan akses yang semakin mudah membolehkan sesiapa pun, waima anak kecil setahun jagung memperoleh pendedahan dan menguasainya, walaupun sekadar bermain permainan dunia maya.

Dalam apa jua perkara, pasti ada pro dan kontra, baik dan buruk, kekuatan dan kelemahannya. Apatah lagi dalam usia muda, sikap ingin tahu dan mencuba dalam kalangan remaja amat tinggi.

Baca lagi di  SINAR HARIAN ONLINE

Selesai sudah Aidilfitri

Selesai sudah Aidilftiri 1433.  Selesai juga segala ibadah yang diwajibkan untuk kita lakukan semasa bulan barakah Ramadan.  Sekarang kita meneruskan kehidupan kita untuk menghadapi hari muka.  Kita perlu laksanakan yang sebaik mungkin supaya kesejahteraan dan kebahgiaan yang kita idamkan dapat dicapai.

Perpaduan antara kita yang telah diperkukuhkan semula semasa menyambut hari mulia 1 Syawal … bersama dengan azam baru untuk membawa lebih kecemerlangan kepada hidup kita di masa akan datang .. perlu direalisasikan.  Janji-janji yang kita lafazkan,  atau niat dihati untuk merapatkan lagi hubungan persaudaraan kita semasa kita,  perlu juga kita ambil kira.

Inilah yang harus dijadikan focus kepada aktiviti kita sekarang.

Kadang kala,  oleh kerana keadaan mendesak,  maka janji-janji akan kita lafazkan tanpa memikir akibatnya.  Kita berjanji akan membuat sesuatu yang boleh memperkukuhkan iman kita,  menguatkan aqidah kita,  menaikkan martabat kita,  dan membawa kemuliaan kepada diri kita.   Bila kita  duduk di atas sejadah pada solat Subuh menjelang 1 Syawal,  atau sewaktu mengerjakan solat sunat Aidilfitri,  atau semasa mengerjakan solat-solat wajib sepanjang hari mulia itu,  pelbagailah rancangan kita fikirkan ke arah ini.  Sekarang perlu kita lakukan janji-janji ini.

Di keliling kita,  para insan yang rapat sekali dengan diri kita,  ialah ahli keluarga kita sendiri … ayah, ibu, abang, kakak, adik dan sebagainya.  Harus kita bertanyakan diri kita,  bagaimanakah hubungan kita sesama kita.  Adakah hubungan ini dilakukan sesuai dengan landasan agama kita?  Wujudkah suasana hormat menghormati antara kita.   Wujudkah semangat bantu membantu antara kita?   Bagaimana pula dengan hubungan ini,  adakah ianya berteras dan dipengaruhi oleh kebendaan,  kekayaan,  kedudukan atau diikat kuat dengan rasa cinta dan kasih sayang antara kita.

Selama sebulan … dalam Ramadan … semasa kita menjalankan ibadah untuk memperkasa dan menyemarakkan bulan keramat ini,  dipercayai ini semua ada kita fikirkan.   Dan sekarang,  yang perlu dilakukan ialah menentukan bahawa hasrat dan idaman kita untuk membawakan satu kehidupan yang penuh makna dapat kita hasilkan.

Inilah yang merupakan perjuangan utama kita,  iaitu mencipta satu kehidupan yang sama-sama kita nikmati .. yang dibelai dan dibajai dengan rasa kasih sayang antara kita sesama kita.

Jauh di mata dekat di hati

Pepatah Inggeris ada menyatakan  ‘Absence makes the heart grow fonder’.   Pepatah Melayu yang mempunyai maksud yang sama berbunyi  ‘Jauh di mata dekat di hati’.  Bagaimana kita memberi maksud  kepada kedua-dua pepatah ini bergantung kepada kita sendiri.

Kepada kebanyakan kita bila berjauhan itu,  sudah sememangnyalah ia membawa rasa rindu … rasa kehilangan … dan rasa resah gelisah.  Kita rindu kepada yang tiada bersama kita.  Kita terasa kehilangan kepada yang jauh dan yang sudah lama tidak bersua muka dan bertukar kata.  Dan terasa resah apabila tiada mendapat khabar berita dari yang tiada bersama kita.

Keadaan inilah agaknya yang menyebabkan ‘dicipta’ satu suasana yang membolehkan terkumpulnya insan yang terlibat.  Dan suasana ini diwujudkan bila tiba hari-hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidadha.  Inilah yang membawa erti yang besar kepada kedua hari mulia ini.

Hari Raya Aidilfitri baru saja berlalu.  Sejak yang kita lalui tahun lalu,  selama setahun baru kita sambut ketibaannya semula.  Tiap seorang dari kita,  mempunyai tafsiran tersendiri mengenai hari penuh hikmah ini.  Ada di antara kita menunggu kedatanganya untuk menjadikannya sebagai detik permulaan bagi azam hidup yang baru,  yang mempunyai lebih makna kepada kita.

Ada pula di antara kita,  menunggu ketibaan hari ini,  untuk kita jadikan sebagai hari  berkumpul nya semua kaum keluarga.  Atau hari untuk kita membaharui dan mengikukuhkan lagi tali persaudaraan kita sesama anggota keluarga.

Apa pun Hari Raya Aidilfitri besar maknanya kepada kita.  Yang jauh didekatkan,  dan yang renggang dirapatkan.  Cara ini dapatlah diperkukuh dan diperkasakan institusi kekeluargaan yang selama ini kita pelihara.

Dalam masa setahun,  banyak perkara boleh berlaku.  Banyak juga kata-kata yang dilafazkan,  dikeluarkan,  dihemburkan  dan  diperdengarkan.  Ini terlaksana secara spontan,  atau tidak disengajakan  atau sengaja disebutkan.  Tiap perbuatan ini mempunyai akibatnya masing-masing.  Ada yang baik dan ada pula yang buruknya.  .Maka itulah sebabnya,  perhimpunan keluarga amat digalakkan,  yang tujuan utamanya untuk meleraikan yang kusut,  membetulkan yang tidak betul,  merapatkan yang renggang,  dan menyatupadukan anggota keluarga supaya dapat sama-sama mengharungi hidup ke masa hadapan dengan lebih sejahtera,  cemerlang,  berpadu dan penuh persefahaman lagi.

Jikalau anggota keluarga itu sudah hampir 7 tahun tidak bersua muka,  maka sudah tentulah perjumpaan seperti ini membawa faedah dan manfaat yang amat besar kepada mereka.  Akan dapatlah diwujudkan satu keluarga yang berpadu, bersefahaman dan yang sanggup berjuang mencapai cita-cita murni yang dijadikan matalamat hidupnya.

Hari ini … 1 Syawal

Dan tibalah fajar yang membawa bersamanya 1 Syawal … hari mulia dan bahagia … hari yang menandakan kemenangan kita  menentang,  selama sebulan,  segala yang bertentangan dengan ajaran agama suci Islam.   1 Syawal  … juga bermakna munculnya hari lebaran Aidilfitri … dan bermulalah satu babak baru dalam kehidupan kita yang penuh ketaqwaan dan kesucian.

Aidilfitri membawa erti dan makna yang berbeza antara kita.  Kepada anak-anak ia merupakan satu hari untuk bersukaria,  memakai baju baru, menikmati hidangan yang enak  dan  menerima duit raya.   Kepada yang sudah remaja,  hari ini lebih merupakan hari untuk menyambung semula hubungan silaturrahim yang mungkin telah terputus.  Mungkin hari ini juga membawa satu azam baru dalam menghadapi dunia persekolahan.  Dan kepada yang dewasa pula,  ketibaan hari berkat ini lebih besar ertinya terutama dalam memandu diri menjalani hidup yang lebih mencabar di hari muka.

Aidilfitri.

Akan tetapi dalam institusi kekeluargaan pula,  Aidilfitri adalah segala-galanya.  Ia dapat merapatkan hubungan anggota keluarga.  Ia dapat menyelesaikan masalah yang mungkin timbul sepanjang setahun yang lalu.  Ia juga dapat dijadikan sebagai pemangkin yang boleh mencetus keazaman dan kesediaan menghadapi sebarang cabaran di masa mendatang.

Sememangnyalah  Aidilfitri merupakan satu hari keramat yang boleh membetulkan yang kusut,  merapat dan mengukuhkan perhubungan antara insan,  dan menjadi satu hari yang seharusnya dapat mencetuskan idea baru untuk menghadapi kehidupan masa depan.

Itulah Aidilfitri,  dan hari ini kita sambut ketibaannya.