Harus difikirkan

Artikel yang dipaparkan ini dipetik dari portal rasmi INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM).

Masa Berkualiti Dalam Keluarga: Alasan Atau Alternatif?                                                                          Ditulis oleh Siti Fatimah Abd Rahman.

“Kita perlu mengamalkan konsep masa berkualiti dengan ahli keluarga kita”. Demikianlah saranan yang sering kita dengar hampir setiap hari. Ramai yang bersetuju dengan saranan ini. Dalam kesibukan kita mengejar masa dengan urusan seharian, kita tidak lagi mampu untuk meluangkan banyak masa dengan ahli keluarga yang lain. Untuk itu, masa berkualiti adalah alternatifnya. “Apa guna meluangkan masa berjam-jam dengan anak jika ianya tidak diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat?”, itu rasionalnya.

Setelah sekian lama kita disarankan dengan konsep masa berkualiti ini, fahamkah kita akan maksudnya yang sebenar? Apa yang dimaksudkan dengan masa berkualiti dengan keluarga? Apakah ia bermaksud “ke-ber-ada-an” kita dengan mereka? Apakah dengan ber-adanya kita dengan mereka itu dapat ditakrifkan sebagai meluangkan masa secara berkualiti? Ataukah ada aspek lain yang lebih penting dari semata-mata berada dalam lokasi yang sama pada sesuatu masa?

Jika kita ingin mengatakan bahawa kita meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak, apakah corak kegiatan yang kita lakukan? Apakah kekerapan kita melakukan kegiatan tersebut? Dengan segala kegiatan dan kekerapan ini, apakah unsur lain bagi mengesahkan yang masa tersebut telah diisi secara berkualiti?

Memang sukar untuk mendefinisikan maksud masa berkualiti. Walau bagaimanapun, saya ingin cuba untuk memberi definisi yang pada saya dapat menggambarkan maksud masa berkualiti ini.

Masa berkualiti merujuk kepada satu masa di mana sekumpulan orang meluangkan masa secara bersama dengan melakukan sesuatu yang bersifat interaktif dan memberi makna kepada semua yang terlibat.

Jangkamasa bersama itu tidak penting tetapi ia mestilah memadai untuk menyelesaikan sesuatu aktiviti. Aktiviti yang bersifat interaktif memerlukan kedua-dua belah pihak berinteraksi sesama sendiri ketika melakukan perbuatan tersebut. Di masa yang sama, aktiviti dan interaksi yang berlaku mampu memberi makna kepada semua pihak yang terlibat. Ini bererti interaksi tersebut berhasil untuk mendatangkan manfaat kepada semua yang terlibat baik dari segi mengeratkan hubungan, mengenali di antara satu sama lain dan sebagainya.

Sila baca lagi di Portal Rasmi  INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

Makluman relevan

Artikel ini dipetik dari akhbar online SINAR HARIAN ONLINE disiarkan pada 17 Sept 2012

Institusi keluarga bertanggungjawab terhadap pembentukan sahsiah remaja

KUALA LUMPUR – Melayari kehidupan zaman remaja dalam kepesatan dunia teknologi komunikasi dan maklumat masa kini tidak mudah. Cabaran dan dugaannya sangat berbeza.

Dalam era dunia tanpa sempadan ini, ilmu dan pengetahuan khususnya mengenai dunia Internet sudah menjadi kemestian untuk seseorang individu itu kalau tidak pun celik IT, tetapi sekurang-kurangnya mempunyai ilmu asas mengenainya. Jika tidak, akan dikata buta IT dan ketinggalan zaman.

Dunia maklumat dan rangkaian komunikasi kini hanya di hujung jari. Yang sedemikian, apa masalahnya? Persoalannya, benarkah ia menjadi antara faktor penyumbang kepada permasalahan sosial dan keruntuhan moral di kalangan remaja, sehingga terjebak dalam gejala maksiat termasuk mengandung anak luar nikah?

Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi seperti telefon pintar, tablet, komputer riba, notebook yang semakin hari semakin canggih dan akses yang semakin mudah membolehkan sesiapa pun, waima anak kecil setahun jagung memperoleh pendedahan dan menguasainya, walaupun sekadar bermain permainan dunia maya.

Dalam apa jua perkara, pasti ada pro dan kontra, baik dan buruk, kekuatan dan kelemahannya. Apatah lagi dalam usia muda, sikap ingin tahu dan mencuba dalam kalangan remaja amat tinggi.

Baca lagi di  SINAR HARIAN ONLINE

Dari akhbar online

Klik pada tajuk akhbar untuk membaca artikel sepenuhnya

Keluarga tunjang kehidupan

Oleh Nor Hatina Shuib  –  2013/05/24

Institusi kekeluargaan adalah unit paling asas dan penting dalam proses pembentukan landskap masyarakat yang harmoni. Fungsi institusi keluarga tidak hanya terbatas sebagai kesinambungan keturunan saja sebaliknya meliputi skop yang begitu luas. Sekiranya institusi keluarga berpecah-belah ia memberi impak terhadap pembangunan sosial dan ekonomi secara secara keseluruhan.

Justeru, banyak perkara perlu diperhalusi termasuk membentuk sikap dan nilai murni yang menjadi tonggak ke arah memantapkan integriti masyarakat.

Tumpuan pembentukan nilai murni seharusnya bermula daripada peringkat awal dan ibu bapa adalah pembimbing yang terbaik bagi menentukan hala tuju sesebuah keluarga.

Cabaran membina keluarga sudah jauh berubah sejajar dengan pemodenan negara. Berjaya atau gagal terletak kepada peneraju dalam rumah tangga.

Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional (IPIN) oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) yang dijalankan sejak tiga tahun lalu ke atas 16,000 responden di seluruh negara memperlihatkan institusi kekeluargaan semakin longgar disebabkan pelbagai faktor.

Hasil kajian, mendapati 29 peratus responden menjelaskan mereka jarang dapat makan malam bersama keluarga, manakala 27 peratus tidak mengambil tahu aktiviti dilakukan anak yang keluar pada waktu malam.

Menerusi indeks kajian itu juga mendapati, hubungan antara ibu bapa dengan anak semakin renggang, tidak kisah anak balik lewat dan mengamalkan makan malam bersama keluarga.

Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, berkata hasil kajian menunjukkan masalah dalam institusi keluarga semakin kritikal.    Dari BERITA HARIAN ONLINE