Selesai sudah Aidilfitri

Selesai sudah Aidilftiri 1433.  Selesai juga segala ibadah yang diwajibkan untuk kita lakukan semasa bulan barakah Ramadan.  Sekarang kita meneruskan kehidupan kita untuk menghadapi hari muka.  Kita perlu laksanakan yang sebaik mungkin supaya kesejahteraan dan kebahgiaan yang kita idamkan dapat dicapai.

Perpaduan antara kita yang telah diperkukuhkan semula semasa menyambut hari mulia 1 Syawal … bersama dengan azam baru untuk membawa lebih kecemerlangan kepada hidup kita di masa akan datang .. perlu direalisasikan.  Janji-janji yang kita lafazkan,  atau niat dihati untuk merapatkan lagi hubungan persaudaraan kita semasa kita,  perlu juga kita ambil kira.

Inilah yang harus dijadikan focus kepada aktiviti kita sekarang.

Kadang kala,  oleh kerana keadaan mendesak,  maka janji-janji akan kita lafazkan tanpa memikir akibatnya.  Kita berjanji akan membuat sesuatu yang boleh memperkukuhkan iman kita,  menguatkan aqidah kita,  menaikkan martabat kita,  dan membawa kemuliaan kepada diri kita.   Bila kita  duduk di atas sejadah pada solat Subuh menjelang 1 Syawal,  atau sewaktu mengerjakan solat sunat Aidilfitri,  atau semasa mengerjakan solat-solat wajib sepanjang hari mulia itu,  pelbagailah rancangan kita fikirkan ke arah ini.  Sekarang perlu kita lakukan janji-janji ini.

Di keliling kita,  para insan yang rapat sekali dengan diri kita,  ialah ahli keluarga kita sendiri … ayah, ibu, abang, kakak, adik dan sebagainya.  Harus kita bertanyakan diri kita,  bagaimanakah hubungan kita sesama kita.  Adakah hubungan ini dilakukan sesuai dengan landasan agama kita?  Wujudkah suasana hormat menghormati antara kita.   Wujudkah semangat bantu membantu antara kita?   Bagaimana pula dengan hubungan ini,  adakah ianya berteras dan dipengaruhi oleh kebendaan,  kekayaan,  kedudukan atau diikat kuat dengan rasa cinta dan kasih sayang antara kita.

Selama sebulan … dalam Ramadan … semasa kita menjalankan ibadah untuk memperkasa dan menyemarakkan bulan keramat ini,  dipercayai ini semua ada kita fikirkan.   Dan sekarang,  yang perlu dilakukan ialah menentukan bahawa hasrat dan idaman kita untuk membawakan satu kehidupan yang penuh makna dapat kita hasilkan.

Inilah yang merupakan perjuangan utama kita,  iaitu mencipta satu kehidupan yang sama-sama kita nikmati .. yang dibelai dan dibajai dengan rasa kasih sayang antara kita sesama kita.

Sifat dan sikap di Aidilfitri

Aidilfitri 1433 baru saja berlalu.  Ada kenangan yang manis dan ada juga kenangan yang kurang manis dialami oleh tiap seorang dari kita.

Kebanyakan dari kita menganggap hari mulia ini,  sebagai satu hari untuk memperbaharui ikatan persaudaraan yang mungkin sudah lama berbentuk renggang … dan menunggu ketika ianya terputus.  Ada juga antara kita yang menganggapnya sebagai satu hari yang boleh dijadikan sebagai detik permulaan satu ikatan persaudaraan atau persahabatan yang lebih kukuh dan mantap.  Ada pula yang ingin menganggapnya sebagai satu hari yang mulia lagi keramat untuk dijadikan sebagai hari contoh dalam kehidupan kita.

Apa pun pada 1 Syawal,  semua anggapan ini ternyata.  Dan banyaklah peristiwa yang berlaku.

Menjadi kebiasaan,  pada Aidilfitri,  ampun dan maaf dipinta … maka wujudlah perkataan ‘Maaf Zahir Batin’.  Menjadi kepercayaan juga bahawa jika ‘ampun dan maaf’ diminta pada hari yang mulia ini,  sudah semestinya dan tentulah ianya diberikan.  Sama ada secara ikhlas atau sebaliknya … Tuhan sahajalah yang mengetahuinya.  Tetapi perkataan-perkataan ini dilafazkan.

Contohnya,  jika suasana permusuhan,  caci mencaci,  kata mengata … berlangsung bertahun lamanya,  munasabahkah agaknya suasana ini dapat dihapuskan dengan tiga patah perkataan tadi.  Bolehkah agaknya sinar persabahatan yang baru diwujudkan dengan melafazkan kata-kata tersebut.  Dipercayai keadaan ini agar sukar direalisasikan … tambahan pula di kalangan kita manusia biasa.

Tetapi,  kalau ia boleh meredakan kekusutan yang telah diwujudkan,  apa salahnya.  Mudah-mudahan dengan melafazkan kata-kata keramat ‘Maaf Zahir Batin’  kekusutan ini dapat dileraikan … memang mulialah 1 Syawal.   Perbuatan bermaaf-maafan antara insan memang digalakkan.

Keikhlasan dan keinsafan … juga harus dijadikan sebagai akar umbi kepada pertumbuhan sifat dan perwatakan manusia.