‘Puasa pengikat kasih keluarga’

Artikel ini dipetik dari Lamanweb Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Sebagai seorang isteri pernahkah anda bertanya kepada diri sendiri, apakah punca musnahnya kebahagiaan dalam keluarga? Jika suami tak serasi lagi, anak-anak pula pergi membawa diri, rumah yang semestinya menjadi tempat untuk merasai ketenangan jiwa justeru membakar hati dan perasaan penghuninya, maka siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini?

Pada hakikatnya punca kesengsaraan itu adalah kerana mereka jauh dari Tuhan, lalai dengan kesibukan dunia dan hawa nafsu yang diturutkan. Untuk mengembalikan kebahagiaan jiwa, mereka perlu menegakkan agama dalam kehidupan keluarga sejak dari awal pembentukannya lagi. Keluarga yang menghiasi rumah mereka dengan ilmu agama, ibadah dan akhlak yang mulia akan merasai suburmya kasih sayang dan cinta kesan daripada amalan-amalan baik yang mereka lakukan.

Sesungguhnya cinta dan kasih sayang itu berasal dari rahmat Allah dan ia lebih baik daripada wang ringgit dan harta benda dunia. Sebagaimana firman-Nya di dalam surah Yunus ayat: 58 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, hendaklah mereka bergembira. Kurniaan Allah dan rahmat-Nya itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.”

Oleh itu sebagai ibu dan bapa yang beriman, belumlah terlambat untuk menyuburkan cinta dan kasih sayang dalam keluarga dengan cara menegakan agama dalam jiwa kita. Salah satunya adalah dengan berpuasa, sebagaimana sembahyang amat berkesan untuk rawatan sebarang penyakit hati yang menjadi punca sengsara di kalangan ahli keluarga.  Klik di sini untuk artikel selengkapnya.

Sama-samalah kita renungkan.

Berbuka puasa bersama famili

Kerusi di meja makan berjumlah 5.  Untuk berbuka puasa nanti cuma empat yang berisi.  Kerusi kelima kosong kerana yang selalu duduk di atasnya berada di kampus  melanjutkan pelajarannnya.  Jadi dalam bulan Ramadan tahun ini,  famili 5 orang ini hanya tinggal 4 orang untuk menjamu selera mereka.

Makanan sedia dihidangkan.

Hanya beberapa minit lagi, akan kedengaran azan menandakan masuk waktu solat Maghrib,  yang juga menandakan waktu berbuka puasa.  Di atas meja telah siap terhidang beberapa jenis lauk dan kuih.  Air minuman pula ialah air tebu yang dibeli dari bazaar Ramadan tidak jauh dari rumah.   Dan kuih yang dihidangkan empat jenis .. sudah mencukupi.

Kepada si adik kecil,  berbuka puasa bermakna dapatlah rasa lapar dan dahaga yang dialami sepanjang hari tadi dihapuskan.  Selapas ini,  si adik ini akan diajak oleh ayah untuk solat berjemaah se isi keluarga.  Selapas itu akan kemasjidlah mereka untuk bersama masyarakat setempat mengerjakan solat tarawikh pula.

Jika dilihat pada sikap si adik kecil tadi,  akan kita rasakan keperihatinannya untuk mengerjakan yang wajib di bulan Ramadan ini.  Kita perhatikan tingkah lakunya,  kata-katanya.  Dia sentiasa berjaga-jaga menentukan bahawa tidak ada yang dilarang dan yang akan membatalkan puasanya,  dilakukan.

Kepada yang lebih dewasa,  akan kita dapati mereka akan lebih merapatkan diri dengan perkara-perkara yang seharusnya dilaksanakan sempena bulan mulia dan bulan keramat Ramadan.  Kepada mereka menentukan yang dilakukan selaras dengan ibadah yang harus dilakukan,  adalah amat penting.  Tambahan pula bulan puasa hanyalah setahun sekali.

Apa pun,  berbuka puasa bersama anggota famili memang digalakkan.  Bukan sahaja untuk berbuka puasa,  malah untuk makan biasa pun suasana ini digalakkan,  kerana di waktu inilah dapat tiap anggota keluarga itu menceritakan apa yang telah dilakukan hari itu,  dan masalah yang telah dihadapi. Dan biasanya tiap seorang akan memberi pandangan dan pendapatnya mengenai hal ini.

Inilah suasana yang menjadi permulaan kepada aktiviti kekeluargaan,  yang pula akan menjurus kepada wujudnya persefahaman,  perpaduan,  rasa tanggungjawab,  rasa berkeluarga di antara mereka.  Inilah yang perlu di amalkan,  dan bulan Ramadan adalah sebaik bulan untuk melaksanakannya.

Anak-anak dan ibu bapa

Ibu bapa  –  ibu dan juga bapa memang sedar dan memahami tugas dan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak mereka,  terutama sekali dalam masa mereka membesar dan menghadapi hidup.

Apa saja akan mereka laksanakan untuk menentukan anak-anak mereka mendapat pendidikan,  bimbingan  dan  suasana membesar yang semprna dan secukupnya.  Mereka akan lakukan apa saja bagi menjamin pembesaran anak-anak mereka berjalan sebaik mungkin.     Tidak pernah kita dengar ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mereka dalam usaha ini.

Jika kita tinjau keadaan sekliling,  iaitu yang melibatkan tanggungjawab ibu bapa,  maka akan dapat kita lihat pelbagai usaha dilaksanakan oleh ibu bapa.

Akan tetapi,  bagaimana pula keadaannya bagi pihak golongan anak-anak mereka.   Apakah yang mereka lakukan untuk membayangkan bahawa mereka prehatin dan bersyukur terhadap apa yang dilaksanakan oleh ibu bapa mereka.  Bagaimana pula respon mereka.

Dari apa yang kita baca di akhbar dan dengar diceritakan,  keadaan yang berlaku agak menyedihkan.  Kisah anak-anak mengabaikan ibu bapa,  terutama yang sudah tua dan tidak mempunyai pekerjaan, semakin meningkat jumlahnya.  Kisah anak-anak mendera ibu bapa mereka,  hingga ke tahap mencederakan mereka juga semakin bertambah.

Mengapakah ini berlaku?  Adakah ini hasil dari keadaan dunia sekeliling?  Atau adakah ini hasil dari pengaruh yang didatangkan melalui program-program yang disiarkan melalui saluran-saluran media  –  radio dan televisyen.  Atau adakah ini merupakan satu dari hasil yang didatangkan oleh pengajian terlalu tinggi anak-anak itu?  Atau adakah ini membayangkan apakah yang boleh dibawa oleh kejayaan dalam kerjaya mereka?

Apa pun,  suasana ini menggambarkan dengan jelas bahawa institusi keluarga sudah mula meroboh untuk tumbang dan musnah.  Apa pula yang perlu kita lakukan bersama … sama ada ibu bapa atau anak-anak itu sendiri?

Ragam remaja

Golongam remaja dianggap dan diiktiraf sebagai kumpulan masyarakat yang akan mengambil alih peranan atau tugas yang dilaksanakan oleh golongan dewasa hari ini.  Pendek kata kepada merekalah akan terserah nasib masa depan bangsa dan Negara.

Untuk ini,  berbagai dan pelbagai usaha dijalankan,  berbagai program dan aktiviti dirancang dan dilaksanakan,  bagi menentukan mereka tetap akan bersedia untuk melaksanakan tugas yang maha penting ini.

Rata-rata dapat kita saksikan program demi program dilaksanakan untuk menentukan golongan remaja akan bersedia bila tiba masanya.  Mereka menjalani program-program yang membangun minda mereka,  yang menambahkan ilmu kepakaran mereka,  yang mendidik mereka berdikari,  berinovasi,  berwawasan,  berdisiplin  dan  bertanggungjawab.  Ramai pakar dan ahli terlibat dalam usaha ini. Tujuan utamanya supaya mereka mendapat bimbingan yang betul dan munasabah demi kesejahteraan dan kecemerlangan masyarakat bangsa di masa mendatang.

Ramai yang telah berjaya membuka minda mereka,  berjaya dalam kerjaya,  dan berjaya dalam usaha menimba ilmu di menara gading.  Ini adalah satu hakikat.  Ini amat dibanggakan oleh masyarakat,  bangsa dan Negara.

Kejayaan demi kejayaan mereka capai.  Keadaan ini memang dinanti-nanti bukan sahaja oleh Negara,  malah oleh kaum keluarga mereka sendiri.

Senario ini ada baiknya,  tetapi ada juga buruknya.  Yang baiknya golongan remaja hari ini sudah lebih bersedia untuk menjalankan tugas sebagai  ‘pemimpin’ di masa hadapan.  Yang baiknya juga mereka sudah memberi gambaran keadaan masyarakat Negara di zaman mendatang.   Dan yang baiknya juga mereka sudah mula prehatin terhadap apa yang berlaku kepada masyarakat,  bangsa  dan  Negara,  dan sudah mula meluahkan buah fikiran yang matang untuk membantu.

Yang buruknya pula,  kadang kala kejayaan itu ‘telah naik ke kepala’.  Ada juga yang terlupa akan hubungan dengan keluarga terutama ibu bapa.  Kejayaan telah menyebabkan mereka lupa akan tugas dan peranan ibu bapa yang membesar dan mendidik mereka hingga ke tahap ‘berjaya’.  Biasa juga kita mendengar anak-anak muda ini mengabaikan ibu bapa mereka yang sudah tua dan ‘tidak produktif’ lagi,  tambahan pula jika orang tua itu berasal dari desa dan tidak pula mempunyai kerjaya yang membanggakan.  Ini ada berlaku.  Dan ada juga kedengaran kisah anak-anak muda yang mendera dan mencederakan ibu bapa mereka.  Pendek kata,  mereka ini lupa daratan dan diumpamakan sebagai ‘kacang lupakan kulit’.  Sememangnyalah keadaan ini memberi satu gambaran yang buruk terhadap golongan remaja.  Tetapi,  bijak pandai juga ada berkata bahawa ‘ini semua masih boleh dibetulkan,  memang tidak terlewat jika kita sama-sama berusaha’.

Sama ada yang baik,  atau yang buruk,  senario atau keadaan ini,  akan berlaku.  Yang harus dan wajib dilakukan sekarang  …. Bagi pihak golongan remajanya … ‘tepuk dada tanya selera.’   Kepada ibu bapa pula,  besarkan dan didiklah anak-anak dengan berlandaskan agama suci kita Islam.  Didikan agama yang sempurna dan lengkap dapat membendung ‘gejala-gejala’ ini semua.  

Apa lagi yang perlu dilakukan ..

Keluarga bahagia … keluarga ceria … keluarga sejahtera.   Sudah kerap kali kita mendengarnya.  Sudah banyak kali juga kita dengar hujah-hujah dan kata-kata semangat yang mendorong kepada wujudnya atau terciptanya keadaan-keadaan ini.

Akan tetapi,  apakah sebenarnya senario atau suasana yang boleh membawa kepada terhasilnya keadaan-keadaan ini dalam kehidupan kita.

Saya menjemput saudara memikirkan bersama, dan memerhatikan keadaan sekeliling yang boleh menjelmakan keluarga yang bahagia,  yang ceria dan yang sejahtera.

Kepada saya secara peribadi,  yang saya inginkan dalam keluarga saya ialah terdapatnya persefahaman di kalangan anggota keluarga,  terdapatnya sikap saling menghormati antara satu sama lain,  wujudnya semangat bantu membantu dalam apa keadaan sekali pun,  dan penting sekali tidak ada berlaku apa-apa pertelingkahan,  pertengkaran,  perselisihan faham dan sebagainya.   Ini kepada saya adalah ‘ingredient’ kebahagiaan dalam keluarga.

Sering kali kita dengar kisah pergolakan di dalam keluarga berpunca dari perkara-perkara yang materialistik dan kadang kala yang berpunca dari perasaan atau emosi … iaitu umpamanya mengenai harta dan wang ringgit,  mengenai kedudukan dalam masyarakat,  mengenai masalah yang dihadapi, berkaitan dengan fahaman dan ideology  dan  banyak lagi.

Pada pandangan saya,  kehidupan yang kita jalani ini banyak memerlukan suasana yang lebih tenang … khususnya dalam keluarga kita,  tambahan pula kita ketahui bahawa keluarga adalah merupakan sebagai ‘nucleus’ atau titik permulaan satu masyarakat atau bangsa itu.  Keadaan dalam keluarga secara langsung atau tidak langsung akan menggambarkan keadaan satu-satu bangsa itu secara menyeluruhnya.   Dalam hal ini,  memang wajarlah keadaan keluarga dipelihara sebaik mungkin.

Saya kira,  banyak juga yang sependapat dengan saya mengenai hal ini.