Minda: Asas pembentukan keluarga bahagia

Dalam kita mengkaji dan meneliti subjek Keluarga Bahagia ini,  banyak rupanya artikel dan tulisan mengenainya yang dihasilkan oleh pakar dan mereka yang arif mengenai Keluarga Bahagia ini.

Di sini dipetik satu artikel yang disiarkan dalam akhbar HARIAN METRO.

“Minda:  Asas pembentukan keluarga bahagia

PEMBENTUKAN bangsa yang kuat banyak bergantung pada institusi keluarga yang kukuh dan tidak berpecah-belah. Jika institusi keluarga semakin rapuh kekuatan bangsa juga turut terancam. Kekuatan sesebuah keluarga mesti diasaskan dengan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri serta hubungan keluarga yang mesra.

Institusi keluarga yang kukuh dan harmoni diasaskan daripada kasih sayang, cinta dan keserasian yang akhirnya disatukan melalui perkahwinan yang sah. Keluarga adalah inti peradaban. Memiliki banyak keluarga menjadikan asas kepada kekuatan bangsa dan keturunan.

Kejayaan sesuatu bangsa yang memiliki peradaban yang cemerlang, asasnya adalah keluarga bahagia dan hidup dalam kesejahteraan.

Islam sangat menitikberatkan asas pembentukan keluarga bahagia dan cemerlang. Pembentukan ini bermula dengan iman, akidah dan ketakwaan di kalangan pasangan suami dan isteri.

Justeru, seorang ayah, ibu, anak dan ahli keluarga akan hidup aman dalam sebuah rumah tangga bahagia. Jurai keturunan keluarga akan menjadi bertambah kukuh apabila lahirnya keturunan yang menjadi kesinambungan sesebuah keluarga.”

Klik di sini untuk membaca sepenuhnya.

KELUARGAKU DUNIAKU

Tiap seorang dari kita adalah ahli atau anggota satu keluarga.  Ini tidak boleh kita nafikan.  Ini adalah satu realiti… satu hakikat.  Mungkin kita adalah ayah atau ketua keluarga,  atau kita  merupakan seorang isteri atau ibu atau pembantu kepada ketua keluarga,  atau kita merupakan seorang anak di dalam keluarga itu.  Apa pun kita mempunyai hubungan secara terus dengan keluarga.   Kita hidup dengan keluarga,  dan kita berdamping rapat dengan keluarga.

Kalau kita perhatikan agak mendalam,  akan kita dapati bahawa pergerakan satu-satu keluarga sama seperti pergerakan atau operasi satu organisasi … sama ada organisasi awam atau organisasi swasta.

Satu organisasi itu berjalan dan melaksanakan tanggungjawab nya  melalui tenaga kerja atau pasukan petugasnya.  Tiap seorangnya mempunyai tanggungjawab dan bidang tugas yang telah ditentukan demi mencapai hasrat,  cita  dan  objektif organisasi itu.  Dan kumpulan ini diikat kuat dengan rasa cinta,  taat setia, semangat juang dan sifat komitmen terhadap matlamat yang hendak dan perlu dicapai.  Atau dengan lain-lain perkataan  tiap anggota organisasi itu harus menjalankan tugasnya dengan baik untuk menentukan hasil yang akan dicapai sesuai dengan matlamat yang dirancang.

Begitulah juga keadaannya senario di dalam satu keluarga itu.   Tiap anggotanya mempunyai tugas masing-masing.  Tiap anggotanya harus menentukan bahawa tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya dilaksanakan sebaik mungkin,  supaya matlamat yang hendak dicapai dapat diperolehi tanpa sebarang masalah.  Dalam hal keluarga,  matlamatnya ialah untuk merealisasikan cita-cita mewujudkan suasana aman damai,  cemerlang,  bahagia dan sejahtera,  bukan sahaja untuk masa kini,  malah untuk masa-masa mendatang.

Seperti juga perjalanan satu organisasi itu,  banyak dugaan,  rintangan  dan  masalah yang perlu dihadapi dan perlu pula diatasi oleh keluarga.  Kalau keadaan ini dibiarkan bermaharajalela,  maka sudah tentulah perjalanannya akan pincang yang berkemungkinan pula akan roboh dan hancur berkecai.  Dan jika ini berlaku, maka musnahlah keluarga itu.

Dalam perjalanan hidup satu organisasi keluarga atau institusi keluarga itu,  memang banyak yang harus dan perlu dilaksanakan.  Dan banyak juga panduan,  bimbingan  atau  asas yang perlu dikenalpasti dan digunapakai.  Inilah yang menjadi satu cabaran kepada tiap anggota institusi keluarga itu …. mencari dan menggunakan pendekatan yang terbaik bagi menentukan matlamat yang diidamkan tercapai.

Hari ini,  dalam dunia yang dipenuhi dengan pelbagai teknologi moden dan terkini,  usaha mencari garis panduan dan asas yang terbaik,  sentiasanya menghadapi banyak rintangan.  Usaha ini pada biasanya diganggu oleh penemuan-penemuan baru,  sama ada yang berupa ethika hidup atau teknologi untuk hidup.  Maka terpulanglah kepada kita anggota keluarga untuk menentukan bahawa yang terbaik,  yang dapat mendatangkan manfaat dan faedah sahaja yang dipilih.

Institusi keluarga hari ini,  diancam kewujudannya dari berbagai sudut.  Kita akan berhadapan dari ancaman dalaman,  yang banyak berupa hasil emosi anggota keluarga itu sendiri,  dan ancaman luaran yang pula akan membawa pengaruh-pengaruh yang boleh menggegarkan organisasi keluarga ini.

Jadi apakah yang harus dan perlu kita lakukan.  Tidak lain kita perlu menggunakan akal fikiran yang matang.  Dan penting sekali berpandukan ajaran yang dibawa bersama agama suci kita Islam.  Inilah yang boleh menyelamatkan instisuti keluarga dari jatuh tersungkur dan hancur berkecai.

FALSAFAH PERKAHWINAN DALAM ISLAM

Untuk faedah kita bersama,  dipaparkan di sini satu tulisan dari Portal YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Maha Suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.” (Yaasin: 36) 

Jika kita perhatikan kejadian di langit dan di bumi, jelas menampakkan kebenaran ayat ini. Setiap yang kita saksikan ada pasangannya. Keadaan tanah di bumi, tidak sama rata semuanya, bahkan dijadikan berpasangan antara tinggi dan rendah. Di suatu kawasan penuh dengan tumbuhan menghijau. Di kawasan yang lain berpadang pasir.

Daratan berpasangan dengan lautan. Pokok-pokok yang meliputi bumi ini ada yang jantan dan betina. Kemudian Allah jadikan pula malam berpasangan dengan siang meliputi alam ini.

Binatang-binatang yang hidup di daratan dan di lautan juga berpasang-pasangan jantan dan betinanya. Demikian pula manusia. Atom yang sangat halus yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan terdiri dari komponen-komponen yang berpasang-pasangan.

Sila klik di sini untuk mengikut tulisan ini sepenuhnya.

Sumber:   YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH