Tanggungjawab Terhadap Anak-Anak

Kewajipan ibu bapa terhadap anak-anak adalah berat,  bukan sekadar melahirkan mereka sahaja.  Pembangunan keluarga akan terjejas sekiranya anak-anak tidak mendapat perhatian dengan sewajarnya dari ibu bapa.

Anak-anak yang dilahirkan adalah ekoran dari cinta,  kasih sayang antara suami isteri.  Maka rasa cinta,  kasih dan sayang itu hendaklah disurahkan pula kepada anak-anak dalam bentuk-bentuk berikut:

1.    Pendidikan Kesihatan

Ibu mempunyai kewajipan menyusukan bayi dalam tempuh dua tahun (24 bulan).

(a) “Ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi-bayi mereka selama dua tahun genap,  bagi siapa yang mahu menyempurnakan tempuh penyusuan tersebut.” Surah Al-Baqarah: 233.

(b) “Memberi makanan yang baik,  halal dan berkhasiat dengan cara yang teratur pada waktu-waktu tertentu supaya menjadi suatu kebiasaan dalam kehidupannya kelak.” Surah Al-Baqarah: 168.

2.   Pendidikan Kebersihan

Ibu bapa berkewajipan melatih,  membimbing anak-anak sejak kecil lagi supaya sentiasa menjaga kebersihan diri,  pakaian,  tempat tinggal,  kawasan sekitar dan sebagainya.

“Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersih dari dosa dan dari kecemaran.” Surah Al-Baqarah: 222.

3.   Pendidikan Akal dan Akhlak

Ibu bapa perlu melentur anak-anak sejak kecil,  jangan biarkan perkembangan akal dan akhlak kanak-kanak tanpa pengawasan.  Kemahuan nafsunya perlu dilentur dengan cara yang baik dengan memberikan pengertian yang betul.  Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik,  sama ada melalui percakapan,  perbualan mahupun tingkahlaku.

“Jangan menyuruh orang lain melakukan kebaikan sedangkan kamu lupakan diri kamu”. Surah Al-Baqarah: 44

4.   Pendidikan Cintakan Negara

Ibu bapa patut menanamkan semangat cintakan negara di mana dia dilahirkan dan hidup sebagai warganegara yang taat setia kepada pemerintah.

“Cintakan Negara Sebahagian Dari Tanda Beriman.”

Cintakan negara kerana ia sebahagian dari bumi ciptaan Allah S.W.T. dan diperintahkan manusia supaya memakmurkannya,  menjaga keamanan dan kesejahteraan penghuninya.  Sesiapa yang melakukan kedurjanaan dan kezaliman di muka bumi ini atau di dalam sesebuah negara di mana ia bermastautin,  adalah dikutuk oleh Allah S.W.T.

“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada semua makhluk sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu.  Dan janganlah kamu melakukan kedurjanaan dan kebinasaan di muka bumi,  sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kebinaan dan kedurjanaan.” Surah Al-Qasas:   77.

Akan bersambung:

Dipetik dari tulisan  Shafie Khatib Jali,  Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara Malaysia.

Beberapa Jenis Keperibadian Yang Perlu Dikenal Pasti – sambungan.

Cara kepimpinan seterusnya masih mengutamakan pencapaian matlamat dan pematuhan perintah,   tetapi sikap ibu bapa berkenaan adalah lembut sedikit.  Ibu bapa memberi kesempatan kepada anak-anak dan ahli keluarga lain mengemukakan pendapat mereka.   Walaupun begittu ibu bapa masih mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan sama ada cadangan itu erbincang dengan ibu diterima atau tidak.   Yang pentingnya ialah anak-anak diberi peluang untuk bertanya dan berbincang dengan ibu bapa berkenaan.

Ibu bapa yang menggunakan gaya kepimpinan ini juga mengambil kira sedikit-sebanyak tentang keinginan dan keperluan ahli keluarga.   Mereka tidaklah mengenepikan begitu sahaja segala cadangan yang dikemukakan.  Ibu bapa harus berbicara dengan lembut dan tidak memaksa anak-anak dengan keras mengikut segala perintah mereka.  Cara ini dapat menimbulkan perasaan mesra di antara ibu bapa dengan anak-anak.

Cara kepimpinan berikut ialah gaya pemimpinan yang sederhana.   Ibu bapa tidak berlalu garang dan tidak juga terlalu permisif.   Perseimbangan wujud di antara autokratik dan permisif.   Cara kepimpinan ini membolehkan ibu bapa mencapai matlamat keluarga dan pada masa yang sama mengambil kira keperluan dan keinginan semua ahli keluarga.  Anak-anak diberi peluang yang tertentu dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan diri mereka.  Ini bermakna anak-anak diberi kuasa untuk menentukan masa hadapan mereka,  melalui bimbingan dan panduan dari ibu bapa,  supaya mereka tidak sesat atau melakukan kesalahan yang boleh menimbulkan penyesalan di kemudian hari.

Ibu bapa ini juga mementingkan kehendak kelompok tetapi kehendak ini mestilah dicapai melalui cara yang tertentu.   Jikalau sesuatu perkara itu difikirkan bertentangan dengan nilai hidup keluarga dan bercanggahan dengan norma masyarakat,  ini akan ditentang oleh ibu bapa itu.

Cara kepimpinan ini dapat menghasilkan anak-anak yang bertanggungjawab.  Lagipun anak-anak diberi kesempatan untuk menggunakan inisiatif dan daya berfikir mereka dalam mengendalikan kehidupan seharian mereka.

Bersambung ….

Sumber:           ‘PERANAN KEIBUBAPAAN’  oleh Dr. Mat Saat Baki,   dalam Siri KELUARGA BAHAGIA,   diterbitkan oleh Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara Malaysia.