Beberapa Jenis Keperibadian Yang Perlu Dikenal Pasti

Ibu pada mempunyai cara dan gaya yang tersendiri dalam memimpin keluarga mereka.  Cara ini bergantung kepada peribadi ibu bapa berkenaan,  pengalamannya sebagai pengikut dan juga proses sosialisasi yang pernah dialaminya.  Ketiga-tiga faktor inilah yang menentukan cara pemimpin yang diamalkan oleh ibu bapa itu.

Berkaitan dengan keperibadian,  ada pelbagai jenis peribadi yang boleh dikenal pasti.  Jenis-jenis keperibadian tidak dapat dibincangkan dengan sepenuhnya.  Memadailah dengan menggunakan satu dimensi keperibadian sahaja,  iaitu daripada peribadi autokratik kepada peribadi permisif.  Cara memimpin dapat diselarikan dengan dimensi peribadi ini.

Berhubung dengan pengalaman ibu bapa itu sebagai pengikut,  diandaikan semua ibu bapa pada satu ketika pernah dipimpin oleh orang lain.   Jika pengalaman mereka ini positif, mereka dapat mewujudkan suasana kepimpinan yang berkesan.  Tetapi jika pengalaman mereka penuh dengan penindasan dan tekanan,  berbagai kesan akan timbul.  Mereka mungkin menjadi keras dan kasar dalam kepimpinan mereka.   Mereka juga mungkin ingin membalas dendam dengan menganiaya orang yang mereka pimpin iaitu anak mereka sendiri.  Semoga ibu bapa tidak menggunakan cara ini dalam memimpin keluarga mereka.

Ada juga ibu bapa yang bertindak sebaliknya pula,  iaitu mereka menjadi lemah lembut dan berperikemanusiaan dalam memimpin keluarga mereka.  Kadangkala kelemahan diperalatkan oleh anak-anak mereka sehingga anak-anak menjadi biadab dan kurang ajar.  Ibu bapa menjadikan anak-anak mereka begitu manja sehingga mereka ketakutan untuk menjalankan sesuatu tindakan disiplin kepada anak-anak mereka.  Ini juga satu perkara yang perlu dielakkan.

Berkaitan dengan sosialisasi pula,  pengalaman ibu bapa dalam keluarga asalnya akan mencorakkan cara dan gaya kepimpinan.  Ibu bapa yang mendapat pimpinan yang penuh dengan kemesraan dan kasih sayang akan memimpin anak-anak mereka dengan kasih sayang juga.  Tetapi jika mereka sendiri dipimpin secara kejam,  kekejaman ini mungkin menular kepada anak-anak mereka sendiri.  Kadang-kadang ibu bapa tidak menyedari kekejaman yang mereka lakukan.  Ini sangat merbahaya kerana mereka meneruskan kekejaman tanpa sebarang sekatan atau bantahan dan susah pula hendak dibetulkan.   Jika mereka menyedari kekejaman mereka itu,  berbagai usaha dapat dijalankan untuk menghindari kekejaman ini.  Oleh itu,  amatlah penting bagi ibu bapa menilai kembali cara pimpinan keluarga yang mereka amalkan.

Seperti yang diperkatakan awal tadi,  hanya satu dimensi keperibadian sahaja yang akan dibincangkan dalam penulisan ini.  Dimensi bermula dengan sifat autokratik ini,  mengutamakan pencapaian matlamat pembentukan keluarga itu sahaja.  Mereka lebih mementingkan tugas pendidikan tanpa memikirkan sama ada tugas ini diperlukan oleh keluarga dan anak-anak mereka.  Sebagai ibu bapa mereka berhak menentukan segala-galanya.  Anak-anak hanya layak untuk menurut perintah sahaja.

Bagi ibu bapa yang begini,  pematuhan arahan dan perintah amat diutamakan.  Perintah mereka tidak boleh dicabar,  dipersoal  atau  diperbincangkan.   Semua perintah mesti diikuti walaupun ternyata perintah itu karut dan tidak bersesuaian.   Ibu bapa tidak mahu perintah mereka dibantah atau dihalang.  Segala halangan dan bantahan akan diatasi sehingga mereka sangguh menggunakan ancaman atau kekerasan.

Ibu bapa yang mengamalkan gaya kepimpinan autoktratik ini,  membuat sesuatu keputusan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan keluarga bersendirian,  tanpa merujuk atau berbincang terlebih dahulu dengan anak-anak.  Ini bermakna bahawa anak-anak tidak diberi kesempatan langsung untuk mengemukakan pendapat dan buah fikiran mereka.  Seperkara lagi,  ibu bapa yang berkenaan tidak ambil kira segala keperluan anaknya.   Mereka sendiri telah menentukan awal-awal lagi segala perkara yang diperlukan oleh anak-anak mereka.

Ibu bapa autokratik ini juga seringkali tidak mempedulikan keinginan anak-anak.  Mereka telah merancang dan mengenal pasti terlebih dahulu perkara-perkara yang difikirkan sesuai dengan keinginan anak-anak mereka.  Setelah itu,  barulah mereka memerintahkan anak-anak mereka supaya mematuhi perintah dan arahan.

Bersambung ….

Sumber:           ‘PERANAN KEIBUBAPAAN’  oleh Dr. Mat Saat Baki,   dalam Siri KELUARGA BAHAGIA,   diterbitkan oleh Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara Malaysia.

Keluarga dan Komitmen kita

Saya ingin membentangkan di dalam post ini,  satu rencana yang dihasilkan oleh IKIM.   Saya kira ianya amat relevan kepada kehidupan kita,  terutamanya kita yang mempunyai keluarga sendiri.

Harapan saya,  semoga rencana ini dapat membantu dalam perjuangan kita untuk mencemerlang,  mensejahtera dan membawa kegemilangan kepada keluarga kita kelak.

KOMITMEN  KEPADA  KELUARGA  SEBAGAI  AZAM  TAHUN  BARU

Siti Fatimah Abdul Rahman
Felo Kanan 

Apabila melangkah ke tahun baru, ramai yang memasang azam. Setelah bermuhasabah diri pada hujung tahun, ramai yang cuba untuk membaiki kekurangan dan kelemahan masing-masing supaya pada tahun yang berikutnya, diri dapat diperbaiki dan kualiti hidup yang lebih baik dapat dinikmati.

Lazimnya azam berkisar tentang perkara-perkara seperti mahu berhenti merokok, ingin menguruskan badan, mahu lebih giat bersukan demi kesihatan, mahu menjadi pekerja yang lebih produktif dan seumpamanya. Namun, jarang sekali orang menjadikan komitmen kepada keluarga sebagai azam mereka. Dalam kata-kata lain, orang jarang berazam untuk menjadi “isteri atau suami yang lebih komited kepada keluarga” ataupun “ibu atau ayah yang lebih komited kepada anak-anak.”

Cuba fikirkan sejenak, seandainya ada borang penilaian prestasi sebagai suami atau isteri, ibu atau bapa, berapakah agaknya peratusan pencapaian kita? Apakah secemerlang pencapaian kita di pejabat? Jika “Ya”, malah lebih cemerlang lagi, alhamdulillah. Jika tidak, maka eloklah difikirkan untuk menjadikan aspek ini sebagai sebahagian dari pencapaian kita untuk tahun 2010.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, melalui agensinya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara sejak beberapa tahun yang lalu telah mempromosikan nilai mengutamakan keluarga. Apakah telah kita sahut seruan itu?

Sepanjang tahun 2009 yang baru berlalu, sejauhmanakah kita telah mengutamakan keluarga? Apakah kita lebih kerap memenuhi janji yang dibuat dengan mereka atau kita lebih banyak memungkirinya? Sebagai ibu atau bapa yang memiliki anak kecil, apakah kita lebih kerap “membelikan mainan” untuk mereka berbanding “bermain dengan mereka”? Untuk anak remaja pula, apakah kita berpuashati dengan membelikan mereka gadget terkini yang canggih tanpa membimbing mereka tentang cara memanfaatkannya?

Dalam bidang pendidikan pula, semua ibu bapa mahukan anak-anak menjadi pandai. Tetapi sejauhmanakah kita membantu mereka untuk menjadi pandai? Memadaikah dengan menghantar mereka ke sekolah dan kelas tambahan semata-mata?

Begitu juga, kita mahu anak-anak kita mengenal agamanya. Tetapi, sejauhmanakah ibu bapa membantu anak-anak memahami dan melaksanakan tuntutan agama itu? Memadaikah dengan menghantar mereka ke sekolah agama di samping sekolah kebangsaan? Di rumah sendiri, berapa kerap ibu bapa mengajak, menyuruh dan membimbing anak-anak untuk solat, mengaji dan mengamalkan nilai-nilai Islam lainnya?

Sebagai ahli keluarga, apakah kita telah berkorban untuk keluarga atau keluarga yang terkorban demi tugas mahupun komitmen kita yang lain?

Komitmen individu terhadap keluarga juga memerlukan sokongan majikan. Majikan yang mesra keluarga memudahkan pekerja untuk menyeimbangkan tanggungjawab mereka terhadap keluarga dan kerjaya.

Justeru, bekerja dari rumah adalah satu pendekatan yang amat mesra keluarga. Walaupun ia membawa faedah-faedah lain kepada para pekerja yang terlibat seperti menjimatkan wang, masa dan tenaga, namun, sumbangannya kepada keluarga dari segi penjagaan anak-anak dan rumahtangga adalah faedah yang tidak ternilai harganya.

Semoga projek perintis yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya itu akan membuktikan bahawa bekerja dari rumah adalah satu alternatif yang membawa banyak manfaat kepada masyarakat. Untuk memastikan impaknya lebih dirasai, projek seperti ini perlu dicontohi oleh kementerian serta majikan yang lain.

Namun, hakikatnya ialah majoriti pekerja wanita berada dalam kategori “pekerja perkeranian” dan “pekerja perkhimatan dan jualan”. Maka, berkemungkinan besar bekerja dari rumah bukanlah pilihan untuk mereka. Apa yang lebih mereka perlukan ialah pusat jagaan kanak-kanak dan pusat transit untuk anak-anak di sekolah rendah. Maka, usaha ke arah ini perlu diperbanyakkan.

Apapun, sejauhmana komitmen kita kepada keluarga perlu dahulu dijawab oleh individu itu sendiri. Kata orang, bila seseorang meninggal dunia, majikan boleh mencari penggantinya dalam masa yang singkat. Tetapi, bagi keluarga itu, ia kehilangan individu tersebut untuk selama-lamanya. Di manakah letaknya keluarga di hati kita?

Sebagai orang Islam, al-Quran dan hadis adalah panduan kita. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah ia telah memeliharanya ataupun mensia-siakannya.” Sebagai ibu bapa, kita akan ditanya tentang tanggungjawab ini. Maka, komitmen kepada keluarga bukanlah satu pilihan, sebaliknya satu kewajipan. Maka, sikap kita terhadap keluarga perlu diperbetulkan.

Seorang penyair Arab pernah menukilkan yang antara lain membawa maksud, “Bukanlah anak yatim itu anak yang ibu atau bapanya telah meninggal dunia. Tetapi, anak yatim itu ialah anak yang masih memiliki kedua ibu bapanya tetapi mereka sibuk bekerja dan tidak memperdulikannya.”. Yatimkah anak-anak kita?

Sumber:   Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Ibu Bapa Sebagai Pemimpin Keluarga

Tugas ibu bapa sebagai pemimpin keluarga memang sudah terbukti dan ini tidak boleh dipersoalkan lagi .    Apa yang perlu diperkatakan ialah ciri-ciri kepimpinan ini,  kerana cici-ciri inilah yang menentukan keberkesanan seseorang itu sebagai ibu atau bapa.  Oleh yang demikian,  adalah amat penting untuk semua ibu bpa mengetahui ciri-ciri ini.

Pertama,  ibu bapa yang berjaya sebagai pemimpin keluarga mestilah berkebolehan untuk berkomunikasi dengan baik.  Ini bermakna ibu bapa mestilah mempunyai kebolehan untuk berbicara dengan anak-anak mereka.  Pada amnya,  ramai ibu bapa mampu untuk berbicara secara terus terang,  jujur dan secara langsung dengan anak-anak mereka.  Ibu bapa yang begini tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyatakan hasrat hati mereka dan juga menyampaikan berbagai ajaran kepada anak-anak.  Ibu bapa yang berkebolehan ini dapat menanamkan sikap jujur dan berangungjawab dalam jiwa anak-anak mereka.  Pada masa yang sama anak-anak dapat mempercayai ibu bapa mereka.

Ada juga ibu bapa yang kurang mahir dalam berkomunikasi secara jujur dan langsung ini.   Mereka sering menggunakan sindiran dan sentiasa mengejek anak-anak.   Cara yang begini boleh menimbulkan perasaan rendah diri dan kurang yakin anak-anak terhadap kebolehan  mereka.  Jadi bagi ibu bapa yag mengamalkan cara ini,  adalah lebih baik jika mereka dapat menghentikannya dan sebagai gantinya,  gunalah cara jelas dan jujur.

Kedua,  ibu bapa yang berjaya juga mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk mendidik anak-anak mereka dengan sempurna.   Ini tidak bermakna ibu bapa berkenaan harus mempelajari semua perkara,  tetapi apa yang diutamakan ialah jika ibu bapa itu memperkatakan sesuatu perkara,  mereka tahu dan faham apa yang diperkatakan.  Jika mereka tidak tahu sesuatu perkara itu,  mereka bersedia mencari maklumat yang dikehendaki.

Keadaan yang begini berbeza dengan ibu bapa yang tidak mempunyai keyakinan.  Apabila mereka ditanya tentang sesuatu yang mereka tidak tahu,  mereka akan berpura-pura tahu dan membohongi anak-anak mereka.  Mereka menganggap bahawa sebarang jawapan adalah lebih baik daripada mengaku tidak tahu.   Cara ini akan diteladani oleh anak-anak dan mereka mungkin akan mengamalkan sikap berbohong dan sombong ini.   Jadi janganlah ibu bapa bersikap demikian.   Sebagai seorang manusia,   kita tidak mampu mengetahui semuanya dengan lengkap.   Oleh itu,  tidaklah menjadi satu kelemahan atau kesalahan mengaku tidak tahu.   Walaupun begitu,  ini tidak bermakna semua soalan harus dijawab dengan tidak tahu sahaja.   Ibu bapa mestilah berusaha untuk menambah pengetahuan mereka selaras dengan perkembangan pengetahuan yang ada sekarang.

Ciri yang ketiga ialah kemahiran menyelesaikan masalah.   Ibu bapa sebagai pemimpin,  bukan sahaja berkebolehan menyelesaikan masalah perhubungan di antara mereka berdua,  tetapi juga berkebolehan menyelesaikan masalah perhubungan di antara anak-anak.   Ibu bapa harus bersikap adil dalam menyelesaikan masalah dan konflik yang dihadapi oleh anak-anak.  Mereka juga dapat menyelesaikan masalah dengan cara baik,  apabila mereka menghadapi pergolakan perhubungan dengan ibu bapa mereka sendiri,  kepincangan perhubungan dengan jiran-jiran atau teman sekerja.   Dengan adanya kemahiran ini,  semua masalah yang mereka hadapi tidak menimbulkan kesan negatif dalam perhubungan keluarga mereka.

Kemahiran menyelesaikan masalah bergantung kepada beberapa faktor tertentu.  Faktor-faktor ini ialah,   kebolehan mengenal pasti masalah yang dihadapi,  kebolehan mengumpul data berkaitan dengan masalah itu,  mencari jawapan yang sesuai dan melaksanakan tidakan yang berpatutan.  Kegagalan salah satu faktor ini dengan sendirinya akan menjejas seseorang itu menyelesaikan masalahnya.

Ibu bapa yang berkesan sebagai pemimpin,  dapat membahagikan tugas-tugas tertentu dengan adil kepada semua anak-anak mereka.  Sejak kecil lagi,  ibu bapa harus membiasakan anak-anak mereka bertanggungjawab dengan menjalankan tugas-tugas tertentu selaras dengan kematangan dan kecerdasan fikiran anak-anak tersebut.   Cara begini ibu bapa tidak membebani diri mereka dengan segala tugas.  Perkongsian tugas juga dapat membantu anak-anak memahami sedikit sebanyak tugas ibu bapa.  Ini adalah penting sebagai satu proses sosialisasi.   Tiap-tiap individu pada satu masa nanti akan menjadi ibu atau bapa.  Jadi proses sosialisasi dapat menyediakan peranan yang sesuai untuk diri mereka.

Dalam memberikan tugas-tugas tertentu kepada anak-anak,  ibu bapa mempunyai tugas tambahan untuk memimpin anak-anak itu menjalankan tugas-tugasnya dengan sempurna.  Galakan dan pujian sentiasa diberi supaya anak-anak lebih rajin menjalankan tugas mereka.   Bukan itu sahaja,  ibu bapa juga perlu menghargai segala sumbangan yang diberikan oleh anak-anak terhadap keluarga.

Penghargaan ini boleh menimbulkan perasaan bangga dan dikehendaki.   Kedua-dua perasaan ini,  adalah penting kerana dapat mewujudkan keyakinan kepada diri sendiri.

Di samping berkeboleh memberi tugas-tugas tertentu kepada anak-anak,  ibu bapa itu sendiri mestilah gigih menjalankan tugas mereka.  Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik  dalam menjalankan tugas yang  telah diamanatkan kepada mereka.   Ini bermakna ibu bapa janganlah cuai menjalankan tugas mereka.   Amat penting bagi ibu bapa mempunyai daya usaha yang tersendiri untuk memulakan sesuatu tugas dan aktiviti itu.  Daya usaha inilah yang membuktikan kreativiti ibu bapa berkenaan.

Ciri-ciri yang lain termasuklah pandai menyelesaikan konflik dan menjalankan tugas mereka dengan mesra dan saling hormat menghormati.   Dalam menyelesaikan konflik di antara anak-anak,  ibu bapa mestilah adil dan tidak menyebelahi mana-mana anak.  Bersikap adil begini,  memanglah susah kerana selalunya ibu bapa mempuyai anak  ‘tersayang’.   Oleh itu,  ibu bapa mestilah bekerja lebih kuat lagi supaya pilih kasih tidak begitu ketara.   Pilih kasih boleh menyebabkan rasa rendah diri di kalangan anak-anak.   Pada masa yang sama anak-anak mungkin saling bermusuhan.  Permusuhan ini perlulah dielakkan.

Kemesraan ai antara ibu bapa dan anak-anak akan menjaminkan perhubungan yang bahagia.   Segala tindak-tanduk dengan anak-anak mestilah berasaskan kepada kemesraan ini.  Di samping itu,  ibu bapa harus menghormati di antara satu sama lain dalam keluarga mereka.   Sekali lagi ibu bapa terpaksa menunjukkan teladan yang baik.

Menjadi ibu bapa mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri.   Di sebalik keistimewaan ini,  terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dijalankan.  Salah satu daripada tanggungjawab ini ialah menjadi pemimpin keluarga.   Untuk menjadi pemimpin yang berjaya,  ibu bapa perlu mempunyai beberapa ciri yang tertentu seperti yang telah diperkatakan di atas.

Diharap ibu bapa yang merasa diri mereka berkurangan,  mencari jalan untuk mengatasi kekurangan ini.   Ibu bapa mestilah sentiasa berusaha memperbaiki cara pendidikan mereka supaya anak-anak menjadi lebih sempurna dan bahagia.

Sumber:           ‘PERANAN KEIBUBAPAAN’  oleh Dr. Mat Saat Baki,   dalam Siri KELUARGA BAHAGIA,   diterbitkan oleh Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara Malaysia.