PERANAN WANITA DALAM KELUARGA

Saya kira,  kita memang sudah kerap kali di tonjolkan dengan konsep dan teori berkaitan dengan peranan wanita dalam keluarga.   Kita telah juga mendengar ‘pros’ dan ‘cons’nya mengenai subjek ini.   Pelbagai pandangan dan perspektif telah dihadapkan kepada kita  …  sama ada dari aspek ekonomi,  kemasyarakatan,  keagamaan  dan  lain-lainnya.

Saya percaya,  kita sebagai individu yang terlibat secara langsung dengan subjek ini mempunyai pandangan dan pendapat kita sendiri.   Pandangan dan pendapat ini rasanya adalah hasil dari pengalaman kita dalam soal ini.

Tetapi dalam hati kecil kita,  kita tahu apakah peranan wanita itu dalam keluarga.  Walaupun terdapat pelbagai kemajuan dan pembangunan dalam masyarakat moden yang didatangkan kepada kehidupan kita,   kita terus berpegang dengan pendapat kita.  Iaitu kita tahu apakah peranan atau pun apakah seharus dan sewajibnya peranan wanita itu dalam keluarga.   Ini rasanya tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa juga,  tambahan pula bila kita tafsikan bahawa keluarga adalah satu unit masyarakat yang bercorak  ‘private’  atau  peribadi.

Apa pun saya petik sebahagian yang relevan dari satu Kertas Kerja bertajuk Peranan Wanita Dalam Pembangunan.  Sejauhmana Mereka Diperlukan Dalam Pembangunan Sesebuah Negara Hari Ini.   Kertas ini dibentangkan dalam Seminar  Pembangunan & Isu-Isu Global (MTP 3012),  yang diadakan tidak lama dahulu.

‘6.1      Peranan Wanita Dalam Keluarga.

Dalam membincangkan peranan wanita dalam keluarga,  perubahan telah berlaku pada peranan wanita sebagai isteri di dalam rumahtangga moden hari ini.  Secara tradisional peranan isteri adalah untuk mentadbir hal-ehwal rumahtangga dan keluarga tetapi dengan timbulnya cara hidup baru berlakulah peruhaban tertentu yang meluaskan lagi peranan para isteri.

Peranan wanita sebagai pengurus rumahtangga telah mengalami perubahan dengan adanya bantuan dari orang gaji,  pengetahuan sains dan teknologi yang telah mencipta pelbagai perkakas rumahtangga untuk memudahkan kerja-kerja mereka.   Tugas sebagai ibu dan jentera penambah zuriat juga telah mengalami perubahan dalam ertikata wanita tidak lagi menyerahkan nasib mereka bulat-bulat kepada takdir,  oleh kerana dengan adanya pengetahuan sains perubatan yang dapat mencipta alat-alat pencegah kehamilan,  ini menjadikan wanita perlu bangkit seiring dengan kemajuan yang dicapai tanpa meninggalkan sikap keluhuran,  kemurnian  dan  tatasusila seorang wanita.

Hari ini para isteri moden mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap kebajikan suami berbeza dengan masa dahulu.   Mereka tidak lagi memegang peranan hanya sebagai tukang masak dan pengasuh kanak-kanak sahaja,  malah mereka harus pada waktu yang sama menjadi penyambut tetamu yang baik,  setiausaha yang cekap,  pengarah yang tegas dan menteri  yang berkalibar dan sebagainya.   Menurut  Datuk Dr Zaharah Sulaiman dalam symposium yang bertemakan  ‘Wanita Alaf Baru Abad ke 21’,  wanita hari ini telah mempunyai imej dan tanggungjawab social yang berbeza sesuai dengan kehendak dan perubahan zaman.

Imej-imej dan tanggungjawab social seperti ini akan membawa kepada perubahan di mana peranan kaum isteri ini dilihat adalah amat besar dalam terus memberi sumbangan dalam pembangunan Negara.  Dalam pada itu juga,  seperti yang disuarakan oleh pemimpin peringkat nasional tentang krisis institusi keluarga di kebanyakan Negara dapat dikategorikan sebagai serius.  Kesan dan implikasi terhadap krisis ini akan memberikan kerugian jangka panjang kepada Negara terutamanya terhadap penghasilan golongan intelektual dan berkebolehan.

Keadaan krisis ini mampu menebalkan amalan bercirikan individualistic di kalangan masyarakatnya.   Akibatnya system nilai yang berteraskan keagamaan dan sosiobudaya mula kehilangan mekanisme kawalannya.   Kelonggaran pegangan pada system nilai tradisi yang tidak diimbangi dengan penerapan nilai positif baru yang berkesan boleh mendorong generasi muda kita terpengaruh dengan nilai yang bersifat negative yang diperolehi melalui media massa dan persekitaran di luar keluarga dan sekolah.   Ini akan mengakibatkan potensi salah laku murid-murid di sekolah,  penglibatan remaja dengan amalan lepak dan gejala dadah kian berleluasa.  Oleh yang demikian alternative yang diperlukan untuk mengatasi masalah ini dengan menjadikan peranan kaum ibu sebagai penasihat dan pengasuh supaya dapat memulihkan keutuhan fungsi institusi keluarga.

Di sinilah peranan yang dimainkan oleh kaum ibu yang bergelar wanita adalah penting agar pembangunan dan kemakmuran Negara dapat dimajukan dengan baik tanpa mengorbankan pembangunan institusi keluarga.   Ini kerana sekiranya diperhatikan dalam institusi keluarga, kaum ibulah yang paling rapat dengan anak-anak dan sumbangan mereka dalam melahirkan generasi yang berpekerti mulia banyak terletak di tangan mereka.   Seperti mana yang diulas oleh Dr Muhammad Nur Munaty,  Presiden Angkatan Belia Islam  (ABIM),  yang mengatakan tugas dan peranan ibu adalah penting dalam menghalang anasir dan unsur yang cuba untuk mempengaruhi pemikiran dan budaya anak-anak.

Sekiranya diteliti peranan itu wanita sebagai ibu di dalam system kekeluargaan bukanlah semata-mata untuk menjaga makan-minum,  kesihatan dan keselesaan hidup anak-anak tetapi juga yang terpenting ialah untuk mendidik,  mengasuh  dan  membimbing.   Ini kerana kesan kepada didikan pada anak-anak itu akan memberikan manfaat kepada diri,  keluarga,  masyarakat dan Negara secara keseluruhannya.   Sesungguhnya watak,  keperibadian anak-anak terletak sebahagian besar di atas isi dan cara pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa.  Di dalam hal ini Rasulullah s.a.w  dalam hadisnya mengatakan:

“Tiap-tiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah sehingga kedua ibubapanyalah yang akan menjadikannya seorang Nasrani,  Yahudi  ataupun Majusi.”  (Al-Hadis).

Dalam menentukan pembentukan anak-anak adalah yang terbaik dalam keluarga,  banyak kaum wanita sanggup mengenepikan kerjaya mereka bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.   Dengan ini tidak hairanlah fakta yang menunjukkan peningkatan bilangan ibu yang berhenti kerja untuk menjadi pengasuh sepenuhnya di dalam keluarga adalah betambah dari masa ke semasa terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak lebih dari 2 orang.’

Itu satu pandangan dan kupasan yang tepat dan padat.  Kita fikirkan bersama,  demi kepentingan kita sebagai individu,  keluarga kita,  masyarakat  dan  bangsa kita,  dalam mengharungi perjalanan menuju ke zaman yang akan datang.

PERANAN IBUBAPA DALAM PEMBELAJARAN

Peperiskaan PRM  tahun 2009 …. Keputusannya telah pun diketahui.   Ramai dari yang menduduki peperiskaan itu memperolehi semua A dalam matapelajaran yang diambil.   Jumlah pelajar dalam kategori ini ialah lebih dari 28,000.   Rasanya,  ini merupakan satu peningkatan jika dibandingkan dengan keputusan peperiksaan yang sama tahun lalu.

Jadi sekarang,  bagaimana reaksi dan rasa kita sebagai ibubapa … terutama jika anak kita adalah antara yang memperolehi semua A itu.   Saya percaya kita bersama rasa gembira dan berbangga.   Kita berpuas hati,  khususnya jika kita sama-sama dengan anak-anak itu menyedia dan menyiapkan diri mereka untuk peperiksaan ini.   Saya kira,   sentiasalah  di bibir kita keputusan ini … seluruh kampong akan mengetahuinya.   Tersenyumlah kita … ke sana ke mari.  Mungkin kita akan adakan majlis kesyukuran ….  majlis tahlil di rumah.   Dan kita berdoa semoga kejayaan seperti ini akan berterusan.

Tetapi bagaimana pula jika anak kita tidak mempunyai keputusan yang baik.   Umpamanya dia hanya dapat memperolehi dua A sahaja.   Apa pula reaksi kita?   Adakah kita akan memarahinya?    Adakah kita akan memotong alaun perbelajaan sekolahnya atau kemudahan yang diberikan kepadanya?  Atau apa?

Kumpulan ibubapa seperti ini memang ada.   Ini tidak boleh kita nafikan.   Kalau keputusan yang dicapai oleh anaknya tidak memuaskan,  maka dia akan marah-marah.  Dia akan memulaukan anaknya itu.   Kalau dia telah berusaha sama membimbing anak itu,  wajarlah baginya  (itupun ada hadnya)  memarahi anaknya … akan tetapi kebanyakannya,  dia tidak pun mengambil kira apa persediaan yang dilakukan oleh anaknya itu bila menghadapi peperiskaan.   Biasanya dia akan mengatakan bahawa perkara mendidik anaknya dalam persekolahan,  adalah tanggungjawab guru.

Ini membawa saya kepada perkara fungsi dan tanggungjawab ibubapa satu keluarga itu dalam perkara seperti pendidikan dan pembelajaran anak-anak.

Jika satu keluarga atau famili itu dianggap sebagai satu organisasi,   maka mudalah ditentukan peranan dan tanggungjawab tiap anggotanya.   Tambahan pula jika tujuan dan objektifnya ialah menghasilkan kecemerlangan dan kesejahteraan hidup.   Dan jika tiap anggotanya pula mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing,   maka lebih mudahlah ditentukan siapakah yang patut membuat itu dan ini.   Dan dalam hal ini,  rasanya akan diketahuilah oleh ibu dan bapa dalam keluarga itu,  siapa yang harus membimbing,  memandu  dan  membantu si anak dalam pembelajarannya.

Memang diketahui bahawa si bapa atau si ayah adalah ketua keluarga.   Dia bertanggungjawab terhadap kesejahteraan dan keselamatan keluarganya.  Dia harus menyediakan antara lain tempat tinggal untuk keluarganya,  membekalkan makan minum mereka,  menjaga keselamatan mereka,  menentukan kemajuan dan pembangunan mereka dan lain-lain lagi,  iaitu sesuai dengan kemampuan dan kebolehannya.

Jika senario ini diambil sebagai titik tolak kepada tugas dan tanggungjawabnya,  maka  dalam bidang memaju dan membangunkan keluarganya,   soal pendidikan dan pembelajaran anak-anaknya akan menjadi agenda utamanya.   Dia perlu dibantu oleh si ibu,  si abang  atau si kakak dalam pendidikan si anak itu.  Mengikut kata orang Barat,  ‘The education of the child is the collective responsibility of the family members.’ Atau pendidikan anak dalam satu keluarga itu ialah tanggungjawab ‘collective’ semua anggota keluarga.

Jika konsep ini digunakan,  maka si ayah harus juga membantu dalam pembelajaran anaknya di rumah.   Kalau dikira,  luangkan sedikit masa untuk anak apabila dia menghadapi pelajarannya di rumah.   Beberapa minit sahaja ‘waktu berkualiti’  atau ‘quality time’  amat penting dan memberansangkan kepada si anak itu.

Dan untuk menghadapi peperiksaan,   suasana tenteram,  aman  dan  selesa adalah yang diperlukan  oleh si anak dan boleh menjadi pemangkin kepada kejayaannya.

PENGENALAN KEPADA ‘FAMILI BAHAGIA’

FAMILI BAHAGIA ialah  lamanweb yang dipautkan kepada  lamanweb   PERSPEKTIF KELANTAN.   Di dalamnya akan dimuatkan dengan segala maklumat yang relevan dan berhubungkait dengan keluarga dan kekeluargaan.

Lamanweb ini diwujudkan untuk dijadikan sebagai  sumber rujukan yang kredibel  mengenai subjek  keluarga,  kekeluargaan  dan  juga institusi keluarga,  terutama sekali untuk mereka yang membuat kajian mengenainya,  dan juga yang perihatin dalam hal-hal yang berkenaan.   Untuk makluman saudara,  bahan-bahan yang akan dikandungkan di dalam lamanweb ini dikenalpasti setelah dibuat kajian dan penyelidikan yang terperinci.   Beberapa agensi kerajaan dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan telah memberi kerjasama yang amat baik,  dalam usaha ini.   Kita akan juga cuba memuatkan pandangan dan pendapat serta tulisan dari mereka yang ahli dan pakar dalam bidang ini.

Antara kandungan lamanweb ini termasuklah panduan dan bimbingan mengenai konsep dan peranan keibubapaan,  pembentukan ummah mengikut Islam,   asas pendidikan anak,   perkembangan kanak-kanak dan banyak lagi.

Untuk kemudahan saudara juga beberapa badan yang menumpukan perhatian kepada pembangunan keluarga dipautkan juga kepada lamanweb ini  iaitu  seperti  Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim,  Rumahku Syurgaku,  Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, dan beberapa lagi yang relevan.

Aspek dan bidang yang akan diliputi oleh bahan-bahan di dalam lamanweb ini,   diharapkan dapat membantu kita semua mewujudkan satu suasana yang ceria,  aman damai,  sejahtera  dan  toleran di dalam kehidupan kita sebagai anggota satu keluarga.   Tambahan pula bila kita sedar bahawa pembangunan masyarakat dan bangsa,  bermula dari pembangunan keluarga.

SEPATAH KATA

Lamanweb  FAMILI BAHAGIA ini diwujudkan sebagai usaha membantu kita memahami dan menghayati peranan keluarga dalam pembangunan masyarakat dan bangsa.   Ia juga bertujuan untuk memberi kita pilihan-pilihan serta panduan-panduan ke arah mengukuh dan memperkasakan lagi institusi keluarga.

Banyak telah diperkatakan mengenai masalah yang dihadapi oleh institusi keluarga hari ini.   Banyak pandangan dan pendapat telah diberikan oleh para bijak pandai dan mereka yang pakar dan ariff dalam bidang ini,   sama ada dari perspektif keagamaan,  sosiologi,  saikologi,  ekonomi  dan sebagainya.

Adalah menjadi harapan kami  di FAMILI BAHAGIA semoga apa yang akan dipaparkan di dalam lamanweb ini,  dapat membantu dan menokok tambah usaha yang sedang dan akan kita laksanakan bagi memperkukuh dan memperkasakan lagi institusi ini.

Awal-awal lagi kami ingin menyatakan bahawa kami bukanlah terdiri dari golongan pakar dalam bidang ini,  akan tetapi kami perihatin dan apa yang akan kami paparkan adalah pandangan dan idea yang kami percaya praktikal dan boleh dijadikan panduan dan bimbingan kita kearah membentuk satu institusi keluarga yang kukuh,  kuat dan dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan bangsa.

Untuk tujuan ini,  kami akan mendapatkan sumbangan-sumbangan dari pakar dalam bidang ini,  dan dari organisasi dan agensi yang berkaitan.   Kita akan mengkaji,  meneliti  dan  meninjau sedalam-dalamnya subjek ini,  supaya kita benar-benar faham akan maksud dan tujuan keluarga dan kekeluargaan,  sambil mengenalpasti segala-galanya mengenai institusi keluarga.

Adalah diharapkan dan dipercayai bahawa sumbangan ala kadar lamanweb ini dapat membantu kita menghadapi masa mendatang dengan lebih yakin lagi,  sambil menggunakan institusi keluarga ini sebagai asas pembangunnan umat manusia secara keseluruhannya.

Sebagai post awalan lamanweb ini,  kami akan tumpukan perhatian kepada istilah atau maksud ‘keluarga’ itu sendiri.

Kami petik di sini penjelasan dari  Wikipedia encyclopedia bebas:

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Keluarga ialah satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan atau pengambilan anak angkat.

Di Barat, keluarga didefinisikan sebagai satu kumpulan manusia yang mempunyai hubungan darah atau pertalian sah seperti perkahwinan dan pengambilan anak angkat. Banyak ahli antropologi berpendapat istilah “darah” perlu difahami secara metaforik kerana banyak masyarakat bukan Barat mempunyai konsep berkeluarga yang tidak bersandarkan “darah”.

Silang budaya keluarga

Berdasarkan antropologi dan sosiologi, fungsi utama sesebuah keluarga ialah untuk menambah bilangan anggota masyarakat sama ada dengan cara biologi atau sosial (iaitu perkahwinan). Oleh itu, seseorang akan merasai perubahan perasaan berkeluarga misalnya bagi anak anak, keluarga bersifat orientasi, iaitu keluarga bertanggungjawab untuk meletak mereka kepada masyarakat melalui pendidikan dan sebagainya. Manakala bagi ibu bapa, keluarga bersifat prokreasi yang mana matlamat utama ialah menghasilkan, membudayakan dan mensosialkan zuriat. Walaubagaimanapun menghasilkan zuriat bukanlah tujuan utama sesebuah keluarga. Dalam masyarakat yang mempunyai pembahagian dalam pekerjaan, kehendak berkeluarga, dan hasil hubungan antara suami dan isteri, pembentukan isi rumah yang produktif dan ekonomi adalah amat penting.

SHAFIEE KHATIB JALI, dalam buku kecilnya bertajuk ‘Pembentukan Ummah Menurut Islam’ untuk Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara,  menulis:

Manusia adalah suatu kejadian ciptaan Allah S.W.T  yang paling baik bentuk dan rupa parasnya,  berbanding dengan makhluk-makhluk lain.   Mempunyai akal fikiran,  perasaan  dan  nafsu keinginan.

Keluarga adalah komponen terkecil dari susunan masyarakat manusia.   Sekurang-kurangnya terdiri dari suami isteri.  Lengkapnya terdapat anak-anak dan lain-lain angota keluarga tinggal bersama.

Maju mundurnya sesebuah masyarakat banyak bergantung kepada keadaan keluarga yang menganggotai masyarakat berkenaan.  Ahli-ahli kemasyarakatan menggambarkan tentang pentingnya sesebuah keluarga dalam membentuk dan membangunkan masyarakat manusia.

‘Rumahtangga adalah markas di mana denyut-denyut pergaulan hidup menggetar.  Dia adalah susunan hidup yang dapat mengekalkan keturunan.  Di dalamnya lahir dan berkembang segala yang berkaitan dengan keperluan hidup manusia.   Keluarga adalah satu kumpulan yang padu,  teratur dan sempurna.   Dari situlah terpancar perasaan halus  (wajdan)  dan sukmajiwa yang hidup sebagai mata air perikemanusiaan dan tasik persaudaraan sejagat yang tidak akan ketandusan.’

Kami akan dapatkan lagi petikan-petikan mengenai  keluarga dan kekeluargaan untuk dipaparkan bagi faedah kita semua, dari satu ke satu masa.

Harapan kami semoga,   secebis apa yang kami bentangkan,  akan menjadi pemangkin kepada kita semua,  dalam usaha kita menjalani hidup,   dan menjadikan  keluarga dan kekeluargaan  sebagai landasan di atas mana dapat kita lalui dalam perjalanan hidup kita.

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!